Inspirasi...

Harian Metro Kosmo! Berita Harian

Dikuasakan Oleh

CLICK THIS BANNER !!

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Tuesday, March 10, 2009

Kota-kota Rasulullah



Selusuri sejarah junjungan mulia, Nabi Muhammad s.a.w. menerusi kota-kota yang dijejaki baginda.




MENYELUSURI sirah Nabi Muhammad s.a.w. selama 63 tahun hayat baginda, kita dapati junjungan mulia ini telah menjejaki beberapa kota sama ada atas tujuan dakwah, hijrah, perjalanan mukjizat mahupun perniagaan.


Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, barangkali menjadi sesuatu yang menarik andai kita dapat mengimbas kembali kehidupan baginda bukan sahaja dari sudut keperibadiannya, bahkan juga mengekori jejak perjalanannya.


Mengenali lebih dekat kota-kota yang pernah baginda jejaki pastinya akan menambahkan penghayatan kita dalam mendalami sejarah hidup baginda.


Kota pertama yang begitu sinonim dengan Nabi Muhammad s.a.w tentulah kota kelahirannya iaitu Mekah. Nabi Muhammad telah diputerakan di Mekah, Arab Saudi pada hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masihi.


Kelahiran putera kepada Abdullah dan Aminah ini membawa lentera ke seluruh pelosok tanah haram dan diriwayatkan penduduk Mekah, mereka melihat sinaran cahaya yang sungguh menghairankan dan menggirangkan saat baginda dilahirkan. Kala itu, api-api yang disembah kaum Majusi turut terpadam.


Dengan kelahiran junjungan mulia itu, bertambah terkenal kota Mekah yang berpasir dan berdebu.


Kini, kota Mekah, tempat terbinanya Kaabah menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia bagi menunaikan ibadat haji, Rukun Islam kelima. Mekah atau Makkah al-Mukarramah terletak kira-kira 73 kilometer (km) dari timur Jeddah, ibu kota Arab Saudi di ketinggian 277 meter (910 kaki) dari paras laut.


Bandar raya ini terletak di antara gunung-ganang yang telah ditakrifkan sebagai pengembangan kontemporari bandar raya itu. Ia berpusat di sekitar Masjid al-Haram.


Dianggarkan sejumlah 3.5 juta umat Islam membanjiri tanah suci Mekah khususnya pada bulan Zulhijjah setiap tahun ketika musim haji.


Kota kedua yang dijejaki Nabi Muhammad s.a.w ialah Bosra di Syam (kini, Syria) ketika mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika itu, baginda berusia 12 tahun. Abu Talib yang amat menyayangi Nabi Muhammad merupakan penjaga baginda setelah bapa, ibu dan datuknya, Abdul Mutalib wafat.


Semasa pemergian baginda ke kota itulah, sifat kenabian Nabi Muhammad s.a.w berjaya dikesan oleh seorang pendeta Nasrani, Bahira. Antaranya, Bahira menyaksikan kelompok awan yang menaungi rombongan perniagaan Abu Talib ketika perjalanan dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Bahira adalah insan pertama yang meminta agar Abu Talib benar-benar menjaga Nabi Muhammad s.a.w kerana jika diketahui kewujudan baginda, pasti orang Yahudi akan menghapuskannya.


Bosra kini merupakan satu bandar bersejarah mengandungi kota-kota era Rom, Byzantine dan Islam yang telah musnah. Ia telah diiktiraf sebagai kawasan warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).



MEKAH kini menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia untuk menunaikan haji manakala Madinah, Baitulmuqaddis dan Euthopia terus dikenang sebagai kota yang kaya dengan sirah Rasulullah.



Nabi Muhammad s.a.w direkodkan pernah ke Syam sekali lagi ketika membantu memperdagangkan barangan hartawan wanita, Siti Khadijah Khuwailid yang kemudiannya menjadi isteri baginda. Siti Khadijah terpikat dengan keluhuran akhlak dan sifat amanah yang dimiliki baginda yang terkenal dengan jolokan al-Amin dalam kalangan masyarakat Arab Quraisy.


Setelah diangkat menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w mula menyebarkan dakwah. Antara kota yang pernah dijejaki Rasulullah untuk berdakwah ialah Ta'if yang merupakan sebuah bandar dalam negara Arab Saudi dan terletak kira-kira 97 km dari kota Mekah.


Nabi Muhammad s.a.w memilih kota itu kerana menyangkakan kota subur itu lebih mudah menerima Islam setelah baginda menerima tentangan hebat daripada kaum musyrikin Mekah.


Namun kedatangan baginda telah diejek dan dihina oleh penduduk Ta'if dengan balingan batu sehingga tubuhnya berdarah. Keadaan itu menyebabkan malaikat Jibril turun dan bertanyakan kepada Nabi Muhammad s.a.w, adakah baginda mahu malaikat menghancurkan kota itu dengan menghempapkan gunung. Namun Nabi Muhammad s.a.w menolak dan sekadar berdoa moga-moga Ta'if melahirkan zuriat yang menyembah Allah yang Esa. Doa baginda dimakbulkan apabila kota Ta'if kemudiannya menerima Islam.


Begitulah terpujinya akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Biar seteruk mana tentangan yang diterima, baginda tidak menyimpan dendam dan tidak akan membalas perbuatan yang jahat dengan kejahatan.


Ta'if kini merupakan satu daerah yang cukup terkenal dengan tanaman anggur dan madu. Padang pasirnya juga ditumbuhi kaktus. Berpopulasi penduduk 521,273 orang, majoriti penduduknya adalah Islam bermazhab Sunni.


Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w juga menjejaki masjid al-Aqsa di kota Baitulmuqaddis (Jerusalem) di Palestin menerusi satu perjalanan mukjizat yang dinamakan Isra' Mikraj. Masjid al-Aqsa disebutkan dalam al-Quran sebagai tempat transit baginda sebelum dimikraj ke langit dalam peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab 620 Masihi.


Kini, Baitulmuqaddis adalah sebuah kota yang kaya dengan tamadun dan budaya. Kota lama Baitulmuqaddis (juga dikenali sebagai Baitulmuqaddis Timur) dikelilingi dengan tembok yang dibina sejak kurun ke-15 lagi. Kota lama ini terbahagi kepada empat kawasan iaitu Islam, Kristian, Yahudi dan Armenia.


Sehingga hari ini, status semasa kota itu masih menjadi konflik dan terus dipertikaikan.


Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad s.a.w meminta sebahagian pengikutnya berhijrah ke Habsyah (kini Euthopia) untuk mendapatkan perlindungan rajanya, Raja Najasyi yang diketahui tidak berlaku zalim. Najasyi mengalu-alukan ketibaan mereka dan tidak membenarkan mereka diserah kepada penguasa di Mekah.




NABI MUHAMMAD pernah ke Syam atau kini Syria untuk berdagang bersama bapa saudaranya, Abu Talib.



Walaupun Nabi Muhammad s.a.w tidak turut serta dalam hijrah itu, namun peristiwa penghijrahan sekumpulan umat Islam Mekah ke Habsyah tetap menjadi sejarah.


Peristiwa hijrah ke kota Madinah atau nama asalnya, Yathrib pula berlaku pada 622 Masihi. Ketika itulah bermulanya permulaan kalendar hijrah. Penghijrahan ini berlaku bukan kerana umat Islam takut ancaman puak Quraish Mekah tetapi kerana jemputan penduduk Madinah sendiri.


Selepas tiba di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. merangka sebuah perlembagaan bagi menyatupadukan penduduk Madinah. Perlembagaan itu dipersetujui oleh semua penduduk Madinah dan dikenali sebagai Piagam Madinah.


Di Madinahlah terletaknya masjid pertama dalam Islam iaitu Masjid Quba'. Di kota itu jugalah terletaknya Masjid an-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w, kawasan yang dibina di atas tapak rumah baginda.


Nabi Muhammad s.a.w wafat di Madinah pada tahun 632 Masihi.



p/s: Selamat Menyambut Maulidur Rasul, banyakkan selawat menjunjung tinggi Baginda Rasulullah S.A.W.







Wednesday, February 18, 2009

Hasad dengki penyakit hati



Perasaan marah jika disimpan lama maka ianya amat sukar untuk disembuhkan yang akhirnya akan terpendam lantas menghasilkan rasa dendam. Tanda-tanda itu dapat dikesan apabila individu itu berterusan membenci dan menjauhi orang tersebut. Hasad dengki adalah kesan daripada dendam. Daripada az-Zubair telah bersabda Nabi: "Telah merebak kepada kamu semua penyakit umat-umat yang sebelum kamu iaitu; hasad dan kebencian".





Dalam Sohehain Nabi bersabda; "Janganlah kamu saling berbencian, janganlah saling memutuskan persaudaraan, janganlah saling memalingkan muka, jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara." Dalam hadis yang lain Nabi berkata; "Sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan-kebaikan sepertimana api yang memakan (membakar) kayu api."



Disebutkan dalam hadis tentang punca yang menyebabkan seseorang itu memasuki Syurga Allah, sabda Nabi bermaksud; "Akan muncul kepada kamu daripada kaki bukit ini seorang lelaki yang merupakan antara penghuni Syurga, maka muncullah seorang lelaki lantas lelaki itu ditanya tentang amalannya lalu lelaki itu berkata; sesungguhnya aku tidak dapati dalam diri aku ini pembohongan dan juga hasad dengki terhadap kaum muslimin yang dikurniakan kebaikan daripada Allah."



Imam Ibnu Sirin berkata; 'Aku tidak dengki dengan seseorang keatas sesuatu yang berkaitan dengan dunia, kerana jika dia dikalangan ahli Syurga maka bagaimana aku dengki terhadapnya sedangkan ianya berkaitan dengan urusan dunia dan dia sedang menuju ke Syurga. Jika dia dikalangan ahli Neraka maka bagaimana aku dengki terhadapnya sedangkan ianya berkaitan dengan urusan dunia lantas dia sedang melalui jalan ke Neraka. Iblis telah berkata kepada Nuh alaihissalam, janganlah kamu sesekali berhasad dengki sesungguhnya ianya telah menjadikan aku seperti sekarang ini."



Perbezaan antara hasad dan ghibtoh;

Hasad ialah; kamu membenci nikmat yang di anugerahkan kepada saudara kamu dan kamu suka jika nikmat itu hilang daripadanya.


Ghibtoh ialah; kamu tidak membenci kewujudan nikmat yang ada pada saudara kamu dan kamu tidak suka jika nikmat itu hilang daripadanya akan tetapi kamu menyukai jika nikmat yang sama kamu perolehi untuk diri kamu.



Bagaimana mengubati penyakit hasad dengki?

Kadang-kadang ubat yang menghilangkan penyakit ini ialah dengan sifat redho dengan qodho, kadang-kadang ianya dapat dihilangkan dengan sifat zuhud dengan kehidupan dunia, kadang kala ianya dapat dihilangkan dengan kita melihat kepada nikmat tersebut yang biasanya termasuk dalam perkara yang merunsingkan dan akan dihisab di akhirat. Maka akan tawarlah hati kita dan meninggalkan bisikan-bisikan hati yang jahat itu.



Adapun sikap suka bersaing untuk mendapatkan kebaikan dengan cara yang menepati syarak maka ini adalah perbuatan yang terpuji khususnya jika untuk merebut ganjaran yang disediakan oleh allah. Allah telah berkata; " Dan pada yang demikian maka saling bersainglah orang yang berlumba-lumba) al-Mutoffifin ayat 26.



Dalam Sohehain Nabi telah berkata; "Tiada hasad dengki kecuali dalam dua perkara; "Seorang lelaki yang Allah berikan padanya al-Quran (menghafaz) maka dia bangun pada waktu malam dan siang hari. Dan juga seorang lelaki yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan dan lelaki itu menginfaqkannya di jalan yang baik siang dan malam."



Faktor yang membawa kepada hasad dengki;

1) Permusuhan

2) Takabbur

3) Sifat ujub ataupun banggga diri

4) Cintakan pangkat dan kedudukan

5) Jiwa yang kotor

6) Benci membenci


Semoga penjelasan ringkas ini dapat menghindarkan kita daripada sifat yang keji ini yang mana kesannya ialah menjadikan umat islam tidak berdaya maju, berada di takuk yang lama tanpa ada perubahan dari semua aspek kehidupan. Lihatlah bagaimana lemahnya umat islam dari sudut ekonominya sebagai salah satu contoh yang paling mudah.

Ingatlah kemaksiatan pertama yang dilakukan oleh makhluk adalah hasad dengki yang akhirnya menjadikan iblis itu angkuh dan sombong lantas dilaknat oleh Allah sehingga hari kiamat. Wallahu a'lam.

p/s : orang kuat dengki memang busuk hati, orangnya pun busuk kot, hehe.


Saturday, February 14, 2009

Yakjuj & Makjuj (Berita Gempar Dari NASA!!!)


Walaupun berita ni dah agak lama, aku tetap nak letak jugak...bacalah walaupun dah baca sebelum ni...hehe.

WASHINGTON — Weekly World News telah mendedahkan tentang penemuan mengejutkan mengenai satu kaum primitif yang di panggil Mole People hidup 20 batu di bawah tanah, menggunakan terowong rahsia untuk memasuki United States! Penemuan ini telah dibuat bukan oleh ahli kaji purba, tetapi oleh saintis NASA yang menggali jauh ke dalam Bumi - dan mereka cuba menyembunyikan kewujudan kaum ini dari pengetahuan awam.. Seorang pekerja NASA yang tidak mahu dikenali telah mendedahkan gambar-gambar eksklusif and informasi mengenai kaum ‘orang gua’ ini.


“Cerita ini harus diberitahu,” kata sumber itu. “Ia terlalu besar untuk disorok”. Sumber itu telah mendedahkan beberapa rahsia besar mengenai Mole People. “Nampaknyer mereka seperti kaum yang peramah”, beliau berkata, “Tetapi mereka amat primitif. Kami cuba berkomunikasi dengan mereka, tetapi ia satu kerja yang susah memandangkan mereka tidak tahu bahasa English”. “Mole People, sebagaimana yang kami panggil, mempunyai laluan senang untuk ke muka Bumi (surface world)”, kata sumber itu.


“Dengan demikian, President Bush mengendalikan situasi ini dengan penuh berhati-hati. “Tersilap langkah boleh mengakibatkan makhluk ini mengisytiharkan perang dengan manusia di atas. Kami tidak pasti berapa jumlah mereka ini. Kami baru melihat satu bandar setakat ini, dengan anggaran 2000 orang Mole tinggai di situ. “Tetapi ada pihak yang menyatakan bahawa mungkin berjuta-juta orang Mole tinggal merata-rata di dalam bandar-bandar bawah tanah, berselerak di bawah muka Bumi”.


Makhluk itu mempunyai beberapa persamaan dengan manusia - dan juga sedikit perbezaan. “Seperti kita, mereka berjalan dengan dua kaki, tetapi mereka jauh lebih tinggi dari manusia biasa - setinggi 8 ke 10 kaki tinggi. Jari-jari mereka seperti kuku binatang. Dan tangan mereka juga seperti kaki itik (webbed), direka untuk menggali, bukan seperti kuku mole”


“Kulit mereka sangat kuat. Ia adalah untuk menahan panas yang melampau dan juga keadaan yang teruk di bawah Bumi”. “Didapati bahawa terdapat perhubungan dan interaksi di antara manusia dengan makhluk ini suatu ketika dahulu - mereka bercakap di dalam bahasa yang hampir sama dengan dialek Navajo Lama.


Sumber itu juga menyatakan bahawa kaum Mole ini mempunyai sistem otot-otot yang sangat besar, membuatkan mereka mampu bertindak ganas. “Apabila salah seorang ahli ekspedisi itu menyalakan rokok, kaum Mole menganggap itu sebagai satu ancaman dan terus menyerang beliau”.


“Mereka mencakar dan menyerang beliau seperti kucing hutan, hampir menjatuhkan beliau bersama rokoknya. Beliau amat bertuah selamat dan hidup dari insiden itu”. Kaum Mole amat berminat dengan dunia atas muka Bumi - pakaian, alat-alatan dan makanan terutamanya. Mereka amat meminati buah-buahan segar.


“Saya belikan mereka sedikit anggur, dan mereka terus berpesta dan bersukaria”, mengikut kata sumber.“Amat jelas mereka tidak boleh menanam buah-buahan mereka sendiri memandangkan mereka tinggal 20 batu di bawah muka Bumi”. NASA amat berminat untuk mengkaji kaum Mole. “Kami mahu tahu segala-galanya mengenai mereka - apa yang mereka makan,bagaimana mereka tinggal dan yang paling mustahak, apakah perhubungan mereka dengan kaum manusia”.


“Kami tertanya-tanya jikalau mereka itu ada kaitan dengan manusia di dalam aspek-aspek yang tertentu. Adakah mereka adalah nenek moyang manusia moden hari ini secara genetiknya ?”


Pakar berkata terdapat spekulasi yang pelbagai mengenai kaum Mole.


“Mereka boleh jadi apa saja, dari Yetis (BigFoot), makhluk asing dari angkasa atau saki baki orang yang terselamat dari bandar Atlantis Yang Hilang. Pakar juga berkata penemuan ini telah menimbulkan beberapa tanda tanya.


Adakah makhluk itu musuh dan suka berperang ataupun peramah dan sanggup bekerjasama? Dan bagaimana dengan minyak dan simpanan mineral di bawah Bumi? Siapa yang memiliki mereka: kaum Mole atau kita? Bagaimanakah dengan NASA dimana misi asalnya adalah untuk meneroka ruang angkasa - telah menjumpai kaum yang hidup di bawah muka Bumi? Jurucakap NASA tidak menafikan mahupun mengiyakan laporan itu. Setelah menerima tekanan hebat dari wartawan, jurucakap White House menjanjikan informasi yang dibenarkan oleh White House untuk disebarkan. Teapi beliau telah memberi amaran “mungkin tidak untuk jangkamasa yang terdekat”. Menurut sumber itu, NASA menjumpai kaum bawah tanah itu dalam bulan Ogos ketika sedang menjalankan projek rahsia yang di beri nama Operation Mole Hole - satu inisiatif dimana wartawan sekarang percaya ia mungkin untuk mengintip China, menggunakan “teknologi bawah tanah”. Setakat ini NASA telah menjumpai pintu laluan rahsia ke dunia bawah tanah di kawasan sekitar Washington State’s Mount Shasta, gua Mammoth di Kentucky dan juga gua-gua yang berselerak sekitar barat daya U.S mengikut kata sumber. Berkurun lamanya manusia telah bercerita tentang kewujudan makhluk di bawah muka Bumi.


Sekarang, buat pertama kalinya, spekulasi itu telah dibuktikan kesahihannya. Tetapi samada makhluk-makhluk ini kawan ataupun lawan masih tidak diketahui.


p/s : erm xtau nk komen pe, yg pasti kite sudah hampir ke penghabisan dunia...


Thursday, February 12, 2009

Al-Quran tidak dimakan api




HAKIMI menunjukkan al-Quran yang tidak hangus selepas rumahnya terbakar di Taman Seroja, Kangar semalam.



KANGAR – Senaskhah al-Quran ditemui masih dalam keadaan elok meskipun terlibat dalam kebakaran yang menyebabkan empat deretan rumah di tingkat atas hangus dijilat api di Taman Seroja di sini awal pagi semalam.


Penemuan itu mengejutkan pemiliknya, seorang pengawal keselamatan, Hakimi Harun, 49.


Menurut Hakimi, kitab tersebut ditemui ketika dia sedang melakukan kerja-kerja membersih rumahnya selepas operasi memadam kebakaran selesai dijalankan oleh anggota Bomba dan Penyelamat.


Katanya, apa yang menghairankannya, hanya kulit al-Quran itu sahaja terbakar tetapi ayat-ayat suci di dalamnya langsung tidak terjejas bahkan tidak basah terkena air bomba.


“Semua barangan di tingkat atas seperti buku sekolah, katil dan almari pakaian rentung menjadi arang tetapi al-Quran itu ditemui dalam keadaan yang masih elok malah tidak basah terkena air sewaktu operasi memadam dijalankan.


“Penemuan ini mengagumkan saya dan ini menunjukkan tanda kebesaran Allah. Saya akan terus memelihara kitab suci ini,” katanya ketika ditemui.


p/s : bukti kekuasaan Allah S.W.T.


Wednesday, February 11, 2009

Belajarlah terima pandangan orang lain


MANUSIA yang lemah hanya mementingkan diri sendiri. Baginya orang lain belakang kira, langsung tidak diendahkan.


Antara jenis pentingkan diri ialah tidak mahu mendengar suara orang di sekitarnya. Cuma yang dia mahu dengar ialah suara nafsu dan keinginannya saja, walaupun kadangkala orang menderita disebabkan sikapnya.


Suara luar, rintihan yang di sekelilingnya tidak diendahkannya. Baginya itu semua tidak penting.


Nabi Sulaiman a.s sanggup mendengar suara dan pendapat luar walaupun daripada seekor burung hud-hud mengenai negeri Saba'.


Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w mendengar pendapat dan pandangan sahabat, kemudian bersama berfikir mengenai cadangan dan akhirnya melaksanakan kesimpulan yang dipersetujui. Bukankah itu memberikan kejayaan!


Pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat menyentuh hati golongan dipimpin. Tetapi sebelum kita dapat menyentuh yang dipimpin, kita semestinya menyelami apa ada dalam hati mereka.


Hendak menyelami hati mesti mendengar dulu suara mereka. Semestinya kita menjadi pendengar yang baik.


Dalam kehidupan seharian antara suara yang perlu kita dengar ialah:

1. Suara mereka yang dekat dengan kita seperti suara hati suami, isteri, anak, teman dan sahabat kita.


Luangkan masa mendengar sama ada pujian atau teguran. Tunjukkan wajah yang simpati dan tindak balas.


Hindarilah wajah yang dingin kerana ia akan melukakan mereka yang sedang berkomunikasi dengan kita. Banyak orang yang suka ceritanya didengari daripada memenuhi permintaan.


2. Suara pelanggan. Kepada yang ingin berjaya luangkanlah waktu untuk mendengar suara pelanggan (terutama peniaga dan pemberi perkhidmatan) dan mendengar suara umat (bagi golongan pendakwah atau pakar motivasi) kerana kadangkala ilmu dan hikmah datang daripada suara mereka ini.


Apabila suara mereka mengandungi makian hadapilah dengan positif dan sangka baik serta cuba perbaiki diri.


Jika suara mereka mengandungi pujian pertahankan pujian dengan mempertingkatkan kualiti.


3. Suara lawan. Suara lawan memang sukar untuk diterima, malah kadang-kadang disambut dengan lawan juga.


Bagi mereka yang bijaksana, suara lawan sebenarnya sangat berharga. Melalui kritikan mereka kita mengetahui lemah kita, bahkan yang cacat akan diperbaiki.


Kata bijak pandai 'apabila lawan kita menceritakan aib kita sebenarnya kita patut berterima kasih kerana dia bersusah meluangkan masa dan fikirannya menasihati kita'.


Cuba fikirkan, berapa banyakkah waktu yang kita pernah guna untuk memperbetulkan dan muhasabah diri kita?


Mulai sekarang marilah kita belajar mendengar, bukan sahaja kata-kata tetapi juga perasaan mereka di sekitar. Nanti mereka juga akan mendengar perasaan kita.


p/s : marilah kita bersama2 kikiskn keegoan dan mula mendengar pandangan orang lain, pandangan orang dapat membetulkan diri kita jugak tau...


Kekerasan bunuh hubungan suami isteri




Rumah tangga bahagia yang dituntut Islam tiada kekerasan kerana Islam memberikan penekanan kepada konsep saling berkasih sayang antara suami isteri.





Pasangan sepatutnya saling berkasih sayang, mempunyai sifat belas ihsan dan baik hati



TINDAKAN kekerasan terhadap wanita berlaku dalam masyarakat melangkaui batasan kumpulan etnik dan agama. Sesetengah diperlakukan sesuka hati, diherdik dan dipukul, malah dirogol tanpa simpati dan belas ihsan.


Rogol adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan hubungan seksual tanpa keizinan atau kemahuan. Mangsa mengalami kemusnahan hidup dan trauma yang sukar digambarkan.


Jika ia berlaku di antara pasangan suami isteri, ia sungguh mengaibkan! Memang jarang diperkatakan, tetapi sedar atau tidak, ia suatu isu sosial yang berlaku dalam masyarakat.


Kajian menunjukkan kekerasan di antara suami dan isteri ini selalunya bersifat kekejaman dalam senyap. Bahkan, secara umum ia memberikan kesan lebih teruk dan traumatik terhadap mangsa, walaupun kerap kali ia dilihat tidak serius.


Lazimnya kes rogol membabitkan orang asing hanya mengakibatkan kemusnahan terhadap diri dalam satu kejadian, tetapi dalam ikatan perkahwinan mengakibatkan kemusnahan bersiri, bahkan memakan waktu bertahun-tahun.


Apabila dirogol suami, anda sebenarnya tinggal dengan perogol! Cukup janggal bunyinya bukan tetapi kenapa seorang lelaki merogol isterinya?


Jika diperhatikan, kebanyakan wanita yang dilaporkan dirogol suaminya memberikan persetujuan untuk mengadakan hubungan seksual. Jadi, sejauh mana Islam menilai isu penderaan domestik ini?


Apabila diperhatikan kepada nas, baik daripada al-Quran dan hadis, tiada istilah kekerasan mutlak seharusnya digunakan terhadap isteri mahupun suami. Islam memberikan penekanan kepada konsep saling berkasih sayang antara suami isteri.


"Dan, di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir." (ar-Ruum: 21)


Bekas Presiden Pertubuhan Islam Amerika Utara, Dr Muzammil H Siddiqi, berkata hubungan antara pasangan suami isteri sepatutnya berasaskan kesejahteraan, kasih sayang dan belas ihsan.


Menurutnya, tiga ciri itu adalah konsep yang sangat penting dalam agama dan menyumbang ke arah pembentukan perkahwinan Islam yang ideal.


Suami dan isteri juga katanya, harus mengetahui yang mereka adalah sumber kesejahteraan dan keselesaan antara satu sama lain.


"Mereka sepatutnya melakukan setiap perkara secara fizikal, emosi dan rohani untuk membuatkan diri pasangan berasa gembira dan selesa. Mereka perlu menjaga diri setiap pasangan," katanya.


Suami dan isteri tidak sepatutnya menjaga diri pasangan dalam pelbagai aspek, dengan tidak mendatangkan kecederaan, sama ada pada anggota fizikal atau berbentuk kata-kata yang mengguris perasaan.


Bagi mempertingkatkan tahap kesejahteraan dalam hubungan suami isteri, mereka sepatutnya saling berkasih sayang, mempunyai sifat belas ihsan dan baik hati pada pasangan.


Kasih sayang dan belas ihsan dalam hubungan adalah ramuan yang paling penting dalam kehidupan rumah tangga dan keluarga yang baik.


Dalam Islam, suami dan isteri tidak dibenarkan menuntut sesuatu yang bertentangan dengan agama, termasuklah segala bentuk kekerasan dan perkara yang tidak betul dengan norma agama dan kemanusiaan.


Hubungan seksual adalah kehendak dan keinginan semula jadi. Dalam Islam, ia hanya dibenarkan antara pasangan yang dibenarkan dan oleh kerana itu, kehendak terbabit harus dipertimbangkan kedua-dua pihak.


Menurut ulama, syariat menggariskan dua prinsip dalam perkara ini. Pertama, suami tidak sepatutnya menghalang dirinya terhadap isteri dan isteri pun begitu juga. Mereka sepatutnya melakukan yang terbaik supaya kedua-duanya mendapat kepuasan.


Bahkan dalam perkara ini, ketika haid dan nifas, suami isteri boleh melakukan hubungan intim dengan cara sewajarnya, walaupun pada dasarnya dilarang mengadakan persetubuhan.


Prinsip kedua ialah dalam hubungan perkahwinan, pasangan itu sepatutnya baik hati, belas ihsan dan bertimbang rasa.


Banyak hadis yang menggambarkan Nabi s.a.w tidak suka bersikap kasar dan terburu-buru apabila mendatangi isteri, sebaliknya lelaki perlu melayan wanita dengan cara baik, lemah lembut dan dihiasi dengan gurau senda.


"Segala sesuatu selain zikrullah itu permainan dan sia-sia, kecuali terhadap empat hal, iaitu seorang suami yang bergurau terhadap isterinya, seorang yang melatih kudanya, seseorang yang berjalan menuju dua sasaran (dalam permainan panah, termasuk juga dalam lumba) dan seseorang yang berlatih berenang." (Hadis riwayat Nasai)


Memang suami mempunyai hak untuk melakukan hubungan seksual, tetapi hak itu tertakluk kepada beberapa faktor, bukan saja dari sudut fizikal, malah perlu mengambil kira perasaan isteri.


"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai haid. Katakanlah: Darah haid itu suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) ketika haid dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci..." (al-Baqarah:222]


Ulama Arab Saudi, Sheikh Ibn Uthaymin ada berkata: "Adalah tanggungjawab pada isteri untuk memenuhi kehendak suami jika beliau memanggilnya ke tempat tidur."


Bagaimanapun, menurutnya, jika isteri mengalami kesakitan dari sudut psikologi dan tidak boleh memberikan tindak balas secara aktif terhadap panggilan itu atau mengalami kesakitan fizikal, suami tidak dibenarkan memanggilnya.


Oleh itu, katanya, suami sepatutnya menahan diri atau melayani pasangan dalam cara yang tidak mencederakannya.


Semua ini menunjukkan tiada istilah rogol dalam perkahwinan Islam yang sebenarnya, sebagaimana perkahwinan yang dijelmakan oleh Baginda s.a.w, memberikan kesentosaan kepada wanita.


Hubungan seksual di antara suami dan isteri sepatutnya berasaskan rasa hormat dan kasih sayang yang sama rata.


Ahli Majlis Fiqah Amerika Utara, Sheikh Muhammad al-Hanooto, berkata: "Keintiman seharusnya menjadi subjek yang penuh sopan santun, bukannya sebagai bentuk keinginan yang abstrak (tidak menunjukkan benda atau butiran dalam bentuk lengkap).


Katanya, wanita sepatutnya memberikan tindak balas secara postif dan lelaki juga sepatutnya tidak sekali-kali memaksa isterinya, tetapi isteri tidak sepatutnya menunjukkan keangkuhan, rasa meluat atau menolak apabila suami mendatanginya.


Apa pun bagi suami, penafian isteri untuk mengadakan hubungan seksual sepatutnya menjadi tanda bagi suami yang menunjukkan isterinya tidak bersedia sama ada disebabkan emosi atau fizikal.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya dan saya adalah orang yang paling baik terhadap isteri." (Hadis riwayat Tabrani dan Tirmidzi)


p/s : hidup berumahtangga kena ada toleransi dan tahu peranan masing2 baru bahagia...


Usah buka aib sesama Muslim


Kelak Allah tutup aibnya di akhirat


DALAM satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya sesama Muslim, kelak Alah akan tutup aibnya di akhirat."



Cuba kita sama-sama teliti satu kisah di zaman Nabi Musa a.s. Pada suatu ketika Bani Israel ditimpa musim kemarau yang berpanjangan. Mereka berkumpul dan datang menemui nabi.


Mereka berkata: "Ya Kaliimallah! Berdoalah kepada Tuhanmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami."


Berangkatlah Nabi Musa bersama kaumnya menuju ke padang pasir yang luas. Dengan jumlah yang ramai itu mereka berdoa dalam keadaan lusuh dan penuh debu, haus serta lapar.


Nabi Musa berdoa: "Ilaahi! Asqinaa ghaitsak...wansyur 'alaina rahmatak..."


Selepas itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin berkilauan. Maknanya segumpal awan pun tidak muncul jua.


Kemudian Nabi Musa berdoa lagi: "Ilaahi...asqinaa..."


Allah pun berfirman kepada Nabi Musa, maksudnya: "Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian sedangkan di antara kalian ada seorang hamba di kalangan yang hadir berdoa bermaksiat sejak 40 tahun lalu. Umumkanlah di hadapan manusia agar dia berdiri di hadapan kalian semua. Kerana dialah Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian..."


Lalu Nabi Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya: "Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun...keluarlah ke hadapan kami...kerana engkaulah hujan tidak turun..."


Seorang lelaki melirik ke kanan dan kiri. Tidak seorang pun yang keluar di hadapan manusia. Saat itu pula dia sedar kalau dirinyalah yang dimaksud.


Dia berkata dalam hatinya: "Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahasiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tidak akan turun."


Hatinya pun gundah gulana. Air matanya pun menetes, menyesali perbuatan maksiatnya, sambil berkata di dalam hati: "Ya Allah! Aku sudah bermaksiat kepada-Mu selama 40 tahun. Selama itu pula Engkau menutupi aibku. Sungguh sekarang aku bertaubat kepada-Mu, maka terimalah taubatku."


Tidak lama selepas pengakuan taubatnya itu, awan-awan tebal pun muncul. Semakin lama semakin tebal menghitam dan akhirnya turunlah hujan.


Nabi Musa kehairanan. "Ya Allah, Engkau sudah turunkan hujan kepada kami, namun tidak seorang pun yang keluar di hadapan manusia."


Allah berfirman, maksudnya: "Aku menurunkan hujan kepada kalian oleh sebab hamba yang kerananya hujan tidak kunjung turun."


Nabi Musa berkata: "Ya Allah! Tunjukkan padaku hamba yang taat itu."


Allah berfirman, maksudnya: "Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal dia bermaksiat kepada-Ku. Apakah Aku membuka aibnya sedangkan dia taat kepada-Ku!"


Semoga cerita ini menjadikan kita hamba yang tidak menghina dan mengaibkan kesalahan yang dilakukan seseorang.


Bukan itu sahaja, kita juga dilarang mendedahkan keaiban sendiri. Tetapi hal ini sering terjadi dalam dunia yang hangat dengan kejungkilan kisah dosa peribadi, kadang-kadang menjadi pelaris dan menghangatkan lagi buku dan siaran televisyen.


p/s : kepada yang suka mengumpat2 keburukan orang tu renungkan lah ye...


Segala Post Disahkan Oleh...